Tuesday, August 4, 2009

SEMINAR ANTARABANGSA DINAR EMAS (SEDINAR 09)

Sukacita dimaklumkan bahawa Kumpulan Penyelidikan Kebudayaan Arab dan Peradaban Islam (KUKAPI, UKM) bersama rakan-rakan pengajur lain akan mengadakan SEMINAR ANTARABANGSA PENJANAAN EKONOMI MELALUI TRANSAKSI WANG DINAR 2009 bertempat di Auditorium, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada 27 Ogos 2009.

PENGENALAN

Sejak Kerajaan Umawi, mata wang dinar telah mengalami reformasi baru dan ia mempunyai berat standard, iaitu 4.25 gram. Semenjak itu, ekonomi umat Islam berkembang dan mencapai kemajuan. Tradisi penggunaan mata wang ini diteruskan oleh Kerajaan 'Abbassi, Mamluki, Andalusi serta 'Uthmani, dan ia berjaya menyaingi beberapa mata wang emas Eropah. Namun, sejarah moden telah menyaksikan bahawa wang fiat (kertas) akhirnya berjaya menyingkirkan wang dinar apabila ekonomi negara-negara Islam mulai lemah. Keadaan bertambah parah dengan keadaan ekonomi dunia kini yang tidak menentu. Dollar, iaitu ‘mata wang dunia’ sekarang dengan jelas didapati tidak kompetatif untuk menghadapi kemelut dan krisis ekonomi global semasa. Wang fiat pada masa ini juga, didapati tidak dapat mengembangkan ekonomi sesebuah negara secara sepenuhnya. Ini kerana kedapatan unsur-unsur manipulasi dan pengaruh tidak wajar dalam sistem kewangan tersebut. Keadaan ini telah dialami oleh negaranegara Islam yang sedang membangun.

Oleh itu , pengalaman silam dalam kecemerlangan penggunaan wang dinar boleh dijadikan iktibar dan panduan bagi umat dan negara Islam dewasa ini, khasnya Malaysia, demi menghidupkan semula penggunaan wang dinar bagi menjana ekonomi negara sesuai dengan hasrat murni Kerajaan Malaysia yang ingin menerapkan nilai-nilai ekonomi Islam dalam urusan perdagangan tempatan dan global.

OBJEKTIF

Menyoroti sejarah perkembangan wang dinar sejak awal Islam sehingga zaman ‘Uthmani.

 Menyusuri sejarah kecemerlangan penggunaan mata wang dinar pada zaman Islam dan kejayaannya menembusi mata wang Eropah.
 Mengenal pasti kelemahan dan ketahanan sistem fiat dalam mencari jalan bagi memelihara kekayaan ummah akibat ketidakstabilan sistem mata wang moden, domestik dan global.
 Mengenal pasti bentuk pengaplikasian wang dinar secara sepenuhnya bagi menembusi monopoli wang fiat.
 Mengenal pasti penggunaan wang dinar dalam hubungan perdagangan dalam kalangan negara Islam.
Menyediakan pelan strategi kepada pihakm Kerajaan, bank-bank dan institusi kewangan bagi pengaplikasian semula wang dinar dalam konteks pengembangan ekonomi Malaysia dan negara-negara Islam dengan mengambil kira realiti arkitektur sistem kewangan antarabangsa.
Menganalisis kerelevanan pengalaman lepas dan bentuk-bentuk panduan yang boleh diguna pakai bagi melaksanakan semula sistem penggunaan wang dinar, dalam konteks pengembangan ekonomi, khasnya sektor perdagangan antara Malaysia dengan negara-negara Islam lain.

PEMBENTANGAN KERTAS KERJA

Seminar ini akan menampilkan para sejarawan ekonomi, pakar ekonomi semasa
dan numismatik . Setiap artikel perbincangan boleh menjurus kepada
sejarah, teori atau aplikasi semasa atau semuanya sekali iaitu gabungan sejarah,
teori dan aplikasi semasa.