Friday, April 29, 2011

Ekspo Perdagangan dan Perhimpunan Melayu Perkasa Kedah Jumaat ini



Perhimpunan Melayu Perkasa Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini yang berlangsung selama dua hari mulai Jumaat ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijadual menyampaikan ucaptama pada Sabtu ini sempena perhimpunan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kedah itu.
Yang Dipertua Perkasa negeri, Syed Osman Mansor berkata, program berkenaan yang bertemakan 'Perpaduan Melayu Teras Perpaduan Rakyat Malaysia' merupakan rentetan daripada dua perhimpunan sama dianjurkan pertubuhan berkenaan di Pasir Mas, Kelantan dan Pasir Salak, Perak sebelum ini.
Katanya, matlamat utama program ialah untuk memupuk semangat perpaduan yang kukuh di kalangan orang Melayu khususnya di negeri ini tanpa mengambil kira ideologi dan politik kepartian.
"Perkasa sedar dalam usaha menyatupadukan orang Melayu, usaha mendekati mereka amat perlu. Bagi menarik perhatian dan minat mereka, satu mekanisme perlu diadakan.
"Program seperti ini adalah antara kaedah terbaik bagi merapatkan mereka. Kami menjemput seramai mungkin pengunjung menghadirinya," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan penganjuran program berkenaan di sini semalam.
Hadir sama, Timbalannya, Zahran Abdullah dan Pengerusi Perkasa Kota Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail yang juga pengerusi penganjur program itu.
Syed Osman berkata, menerusi perhimpunan berkenaan, Perkasa berharap pertubuhan itu tidak hanya dikenali sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi sebagai wadah perjuangan bagi membela nasib dan masa depan bangsa.
Menurutnya, program kali ini menampilkan kelainan kerana ia bukan sekadar perhimpunan tetapi turut mengadakan ekspo yang bakal disertai oleh 100 usahawan bagi mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing.
Bagi memeriahkan program itu, pelbagai aktiviti menarik yang berkonsepkan kekeluargaan disediakan sepanjang dua hari berlangsung, antaranya pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, nyanyian lagu irama Melayu, pertunjukkan Muay Thai dan seni silat serta pertandingan mendeklamasikan sajak.

Saturday, April 16, 2011

Dinar emas bukan wang dunia - Lord Eatwell



Sebahagian dinar emas yang terdapat dalam pasaran tempatan ketika polemik terus berlanjutan tentang sejauh mana daya maju logam berkenaan menggantikan penggunaan wang kertas dalam urus niaga sejagat. – Gambar hiasan







KUALA LUMPUR 15 April - Pakar ekonomi dari University of Cambridge, United Kingdom, Lord Eatwell menyifatkan dinar emas tidak sesuai digunakan sebagai mata wang di peringkat antarabangsa.
Beliau yang merupakan Pengarah Pusat Penganalisis Kewangan dan Polisi University of Cambridge berkata, ini berikutan dinar emas tergolong dalam kategori komoditi yang mempunyai harga pasaran tidak menentu.
''Saya sendiri tidak berminat dengan emas. Ia tidak boleh digunakan di peringkat antarabangsa kerana kita tidak boleh menduga pasaran pada masa akan datang,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan pada Wacana Perniagaan dan Pengurusan: Mengangkat Teori dan Praktis di sini hari ini. Wacana itu dianjurkan oleh Pusat Perniagaan, Othman Yeop Abdullah, Universiti Utara Malaysia.
Dinar emas pernah dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk dijadikan mata wang dunia kerana ia menawarkan nilai yang lebih stabil berbanding wang kertas.
Tun Mahathir berkata, langkah menggunakan dinar emas sebagai ganti mata wang utama seperti dolar Amerika Syarikat (AS) dalam pelbagai transaksi juga boleh menghentikan perang mata wang.
Katanya, dolar AS kini sudah tidak bernilai seperti mana beberapa tahun dahulu dan penggunaan mata wang kertas juga tiada lagi sehebat sebelum krisis ekonomi pada tahun 1997/98 dan penggunaan dinar emas adalah jalan penyelesaian terbaik.
"Mata wang AS kini boleh dianggap sebagai tisu tandas kerana nilainya semakin menyusut dan tidak berharga berbanding emas yang diterima di semua negara dunia," katanya.
Ketika ditanya tentang pandangan beliau mengenai Malaysia dalam menghadapi krisis ekonomi 1997 dan 2007, Eatwell berkata, Malaysia telah mengambil pendekatan yang betul.
Katanya, Malaysia menggunakan mekanisme tersendiri bagi mengelak daripada kerugian besar pada krisis ekonomi tersebut.
''Negara ini didapati telah belajar daripada pengalaman krisis ekonomi pada 1997 yang lalu dan telah bersedia berhadapan dengan krisis ekonomi kemudiannya,'' ujarnya.
Menurut Eatwell, pada krisis ekonomi beberapa tahun lalu, Malaysia tidak terlalu terjejas berbanding Thailand, Indonesia dan beberapa negara jiran yang lain yang kehilangan pendapatan yang tinggi.

Komen Jentayu Emas : Seperti yang pernah pihak kami menulis dalam artikel di Majalah Milinea Muslim Edisi Feb dan March 2011, emas kini masih dianggap komoditi, maka tidak hairanlah harga emas itu sendiri akan mengalami kenaikan dan susut nilai berikutan didagangkan di pasaran. Walaubagaimanapun, kita tidak mampu menafikan fakta bahawa Dinar itu lebih stabil berbanding US Dollar malah kalis terhadap inflasi dan spekulasi. Agak memeranjatkan apabila Pengarah Pusat Penganalisis Kewangan dan Polisi University of Cambridge berkata,''Saya sendiri tidak berminat dengan emas. Ia tidak boleh digunakan di peringkat antarabangsa kerana kita tidak boleh menduga pasaran pada masa akan datang,'' katanya. Persoalannya ialah, ramai orang tidak minat dgn US Dollar, tetapi masih menggunakannya, begitu juga dengan Emas. Adakah kita perlu suka emas baru kita boleh pakai emas, atau kita menggunakan emas kerana logam mulia ini memiliki nilai intrinsiknya tersendiri TANPA PERLU DIBERI NILAI OLEH SESIAPA, WA IMA Kerajaan sekali pun. Adakah kita memiliki alternatif lain selain dari US Dollar? Perlukah kita mengganti US Dollar kepada Yen atau Euro???  Berapa lama wang kertas mampu bertahan? Kami amat optimis, bahawa Dinar akan pasti kembali sebagai matawang sejagat