Friday, January 20, 2012

Perkembangan sistem mata wang pada zaman Khulafa al-Rasyidin sehingga zaman kerajaan Bani Abbasiyah.


Perkembangan sistem mata wang pada zaman Khulafa al-Rasyidin sehingga zaman kerajaan Bani Abbasiyah.

Pengenalan:
Konsep mata wang dalam ekonomi Islam
  • Secara umumnya wang merupakan benda yang dipersetujui oleh masyarakat sebagai alat perantaraan untuk menjalankan kegiatan pertukaran dan perdagangan.
  • Setiap wang mempunyai ciri-ciri seperti mudah dibawa, mudah disimpan tanpa mengurangkan nilainya, tahan lama, jumlahnya terhad dan bahan itu mempunyai mutu atau nilai yang sama.
  • Logam-logam seperti emas dan perak merupakan bahan penting dalam menentukan nilai setiap mata wang yang digunakan.
  • Wang emas dan perak telah digunakan oleh kebanyakan negara sejak 2500 tahun yang lalu iaitu sejak abad ke-7 SM kerana mempunyai ciri-ciri yang tertentu seperti tidak mudah rosak, nilai yang stabil dengan jumlah yang terhad.
  • Dalam tamadun Islam, penggunaan mata wang sudah bermula sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi, dengan mengambil model mata wang dinar emas Rom Timur (Byzantine) dan dirham perak Parsi sebagai mata wang yang sah.
  • Nabi Muhammad S.A.W. telah mengisytiharkan dinar dan dirham sebagai wang yang sah bagi orang-orang Islam untuk berurus niaga pada ketika itu, kerana dapat memenuhi tuntutan syarak.
  • Selaras dengan perkembangan tamadun Islam, maka pada zaman Khulafa al-Rasyidin wujudlah mata wang Islam yang mempunyai identiti dan bebas dari kongkongan mata wang lain. 

    Perkembangan sistem mata wang dalam ekonomi Islam
1. Permulaan penggunaan mata wang Islam.
  • Pada zaman Khulafa al-Rasyidin ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, sistem mata wang Islam mula digunakan dengan peniruan daripada mata wang Rom dan Parsi.
  • Terdapat tiga jenis mata wang pada ketika itu, iaitu Dirham Balji dari Parsi, Dirham Rumi dari Rom dan Dirham Tabari dari Asia Tengah.
2. Penetapan piawaian untuk model mata wang Islam.
  • Khalifah Umar al-Khattab (634 644 M) telah menetapkan kadar piawaian khusus iaitu Piawaian Khalifah Umar al-Khattab sebagai model mata wang Islam yang masih berteraskan dinar emas dan dirham perak.
  • Piawaian mata wang ini diselaraskan kepada berat emas dan perak yang tertentu, iaitu menetapkan 10 dirham perak bersamaan dengan 7 dinar emas, dengan setiap 1 dinar seberat 4.25 gram emas, manakala 1 dirham seberat 3 gram perak.
  • Emas yang digunakan ialah 91.7 peratus iaitu 22 karat dengan berukuran garis pusat 23mm, manakala dirham pula ialah 25 mm.
  • Kedua-dua mata wang ini mempunyai gambar Kaabah dan dua kalimah syahadah di setiap muka depan dan belakangnya.
3. Pembaharuan dalam mata wang Islam.
  • Pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib (656-661M), mata wang Islam telah diperbaharui dengan memperkenalkan dirham Islam yang ditulis dengan khat Koufi.
  • Walaupun mata wang tersebut tidak dapat diedarkan secara rasmi kerana kualiti dan piawaian yang masih belum tetap.
4. Mata wang Islam mula dicetak ketika zaman kerajaan Islam Bani Umaiyyah.
  • Ketika pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan (685 M-705 M) khalifah telah mengarahkan mata wang Islam dinar dan dirham dicetak buat pertama kalinya di Damsyik pada tahun 691M dan 692 M, dan diulang cetak di Mesir, Andalusia dan Wasit pada 693 M hingga 696 M.
  • Kilang-kilang mencetak wang telah didirikan di kota-kota utama seperti di Damsyik, Mesir, Andalusia (Eropah ) dan Wasit (Iraq).
  • Mata wang Islam yang dicetak mengambil model Arab-Islam, iaitu mencatatkan kalimah Allah dan mempunyai tanda mohor khalifah sebagai mengantikan figura haiwan dan wajah pemimpin yang menjadi tradisi mata wang dinar Rom Timur dan dirham Parsi.
  • Gabenor Iraq iaitu Hajjaj Yusuf al- Thaqafi dan Gabenor Mesir Abdul Aziz bin Marwan juga telah mengarahkan mata wang dinar dan dirham dicetak.
5. Penyelarasan percetakan mata wang Islam ketika zaman Kerajaan Bani Abbasiyyah.
  • Pada zaman Khalifah al-Ma’mun (813 M – 833 M), percetakan mata wang Islam telah dibuat penyelarasan di peringkat pusat iaitu di Baghdad, yang sebelum ini mata wang dicetak disemua bandar besar seperti di Kota Kufah, Kota Fustat dan lain-lain, untuk mengelakkan mata wang palsu dicetak.
  • Setiap mata wang dinar dan dirham yang dicetak itu mempunyai nama khalifah yang memerintah.
6. Pengedaran mata wang emas mula dilaksanakan.
  • Pada zaman akhir kerajaan Bani Abbasiyyah, pengedaran mata wang emas mula dilaksanakan.
  • Kerajaan Abbasiyyah menetapkan cukai taksiran menggunakan mata wang emas.
  • Bahkan sejak abad ke-10 M semua perbelanjaan dan perniagaan dibuat menerusi mata wang emas.
  • Ini bermakna pada zaman kerajaan Abbasiyyah sudah wujud penyelarasan dari segi penggunaan mata wang emas di seluruh pemerintahan Islam.
Kesimpulan:
1. Penggunaan mata wang dalam ekonomi Islam telah mendorong perkembangan ekonomi Islam dan telah memudahkan sistem perdagangan dilaksanakan secara berkesan.
2. Perkembangan mata wang Islam telah mengalami pelbagai proses evolusi , bermula dengan mengambil model mata wang Rom dan Parsi sehinggalah wujudnya mata wang Islam yang beridentitikan Islam dapat digunakan sepenuhnya.
3. Mata wang Islam amat berperanan dalam aktiviti perdagangan, pertukaran barangan, alat untuk membayar cukai dan zakat, pertukaran mas kahwin, dan pembayaran gaji.

No comments:

Post a Comment