Monday, February 20, 2012

Syariat Islam Bukan Sekadar Dinar & Dirham


Emas telah digunakan sebagai medium pertukaran sejak sekian lama. Malah, sebelum kedatangan Islam, emas sudah dijadikan medium pertukaran bagi masyarakat dunia pada masa itu. Pernyataan bahawa dinar dan dirham tidak layak dijadikan matawang dunia adalah suatu pernyataan yang diasaskan kepada pemahaman realiti ekonomi dunia yang cukup lemah! Hakikatnya, emas dan perak adalah jauh lebih stabil dari matawang fiat sebagai alat tukar!

Matawang emas dan perak yang paling banyak pada zaman Rasulullah ialah wang emas Romawi dan wang perak Parsi. Setelah kedatangan Islam, Rasulullah mengakui penggunaan matawang ini sebagai standard pertukaran untuk digunakan. Keputusan Rasulullah ini merupakan suatu penjelasan kepada kaum muslimin supaya menjadikan dinar-dirham sebagai matawang yang syarie untuk dijadikan standard pertukaran dan dilaksanakan. Tentang ini Rasulullah bersabda :


“Takaran adalah takaran penduduk Madinah dan timbangan adalah timbangan penduduk Makkah”

[HR Abu Daud, an-Nasa’i, al-Baihaqi]

Dinar dan dirham juga merupakan suatu yang tidak dapat dipisahkan dengan penerapan hukum Islam. Ini kerana, bukan sahaja ia merupakan ketetapan syarak, malah terdapat juga hukum-hakam Islam yang berkaitan dengannya seperti hukum berkaitan dengan haramnya penimbunan harta serta dalam penentuan had untuk seseorang pencuri dikenakan hudud . Rasulullah bersabda,


“Tangan dipotong bagi kecurian suku (satu per empat) dinar atau lebih.
[HR Bukhari]

Namun begitu, dalam keghairahan  kita untuk memperjuangkan penggunaan dinar-dirham dalam transaksi muamalah sesama manusia, kita tidak boleh memisahkannya dari hukum Islam yang lain kerana hukum-hakam Islam bersifat integral. Oleh itu, perjuangan menegakkan sistem kewangan Islam haruslah diperluaskan kepada perjuangan untuk menerapkan syariah secara sepenuhnya dan bukannya sebatas pelaksanaan satu juzuk dari Islam seperti pengunaan matawang dinar-dirham. Dengan izinNya, redha Allah akan diraih dengan penerapan Islam secara kaffah (menyeluruh) dan bersatunya umat Islam di bawah payung Khilafah.