Tuesday, February 26, 2013

Mahathir dan Malaysia



Di bawah pimpinan Dr. Mahathir, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara membangun yang lantang, tegas, berprinsip dan sentiasa berani menyarankan ketidakadilan kuasa besar. Dr. Mahathir juga akan sentiasa diingati sebagai pemimpin yang mempunyai keupayaan menewaskan hampir kesemua musuh politik Malaysia di peringkat antarabangsa dari Margaret Thacher, Paul Keating, Al Gore George Soros hinggalah ke jutawan media seperti Rupert Murdoch dan pengarang utama Britain, Andrew Neil. Senarai yang ada sebenarnya cukup panjang untuk menggambarkan kekuatan Dr. Mahathir sebagai pemimpin dunia.
Dua bulan selepas Dr. Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri berlaku serangan mengejut ke atas Bursa Saham London. Malaysia (melalui PNB) mengambil alih Guthrie Corporation. Apa yagn dipanggil sebagai serangan waktu subuh itu memaksa Britain mengubah undang-undang bersangkut paut jual beli saham di bursa Saham London.
Seluruh dunia memerhati dengan teruja kejutan Dr. Mahathir ke atas Britain. Setahun kemudiannya Dr. Mahathir mengumumkan kepada Perhimpunan Agong UMNO, hasrat untuk mengambil kembali Carcosa Seri Negara yang masih di bawah kerajaan Britain pada masa itu. Sungguhpun hanya pada lewat 1984 berjaya namun ia merupakan hentakan keras Dr. Mahathir keatas orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.
Dr. Mahathir bermula dengan memalukan Britain di Britain, kemudiannya meletakkan pembersihan imej penjajah di dalam negara. Rakyat telah disediakan dengan psikologi bahawa Malaysia telah bersedia untuk keluar dari kerendahan diri dan terhutang budi kepada bekas penjajah-British. Serangan ke atas Bursa Saham London seolah-olah strategi awal Dr. Mahathir menyediakan minda rakyat ke arah yang lebih global.
Pada 1983, Dr. Mahathir telah mengejutkan Britain dengan dasar Buy British Last. Bayangkan selepas sebuah syarikat milik negara kecil seperti Malaysia mengambil alih sebuah syarikat perladangan Britain, ia kemudiannya mengisytiharkan dasar Buy British last. Kedua-dua kejutan ini membuka mata negara bekas penjajah ini. Begitu pun hubungan Malaysia-Britain tidaklah menjadi semakin buruk. Sebaliknya mengundang rasa hormat daripada Britain dan hubungan kedua-dua negara memasuki era baru yang lebih sama taraf berbanding hubungan bekas penjajah dengan bekas tanah jajahan.
Sejak peristiwa ini Dr. Mahathir tidak lagi menoleh kebelakang lagi dalam soal hubungan luar. Selepas mengukuhkan ekonomi dan politik dalam negara, era kepimpinan Dr. Mahathir pasca kemelesetan ekonomi 1986 dan pertelingkahan politik 1988 (pengharaman UMNO), menyaksikan Malaysia memainkan peranan yang berkesan dan tegas di peringkat antarabangasa.
Pada 1986 Dr. Mahathir menghalau dua orang wartawan Asian Wall Street Journal kerana memburuk-burukkan Malaysia. Malangnya Dr. Mahathir ketika itu telah bersedia dengan dasar pandang ke timur melihat tanpa pelaburan Amerika Malaysia masih mampu membangun pesat dengan pelaburan dari Jepun. Apatah lagi ketika itu Jepun sedang membesarkan ekonominya. Beberapa tahun kemudian, The Times dengan Tajuk Sayonara America memberi fokus bagaimana Amerika Syarikat telah menghadapi kerugian besar kerana membiarkan Jepun menguasai pelaburan di Malaysia.
Dasar luar Malaysia di bawah pimpinan Dr. Mahathir sungguhpun meneruskan kelangsungan asas yang diletakkan oleh tunku yang cenderung ke arah negara membangun, negara-negara berkecuali dan negara-negara Islam, Namun cara dan gaya diplomatiknya cukup berbeza. Dr. Mahathir jelas mempunyai perancangan yang besar untuk Malaysia memainkan peranan di pentas dunia.
Berbanding Nehru, Sukarno dan Tuito yagn memilih untuk menjadi kurang senang dengan Amerika atau kuasa Barat, Dr. Mahathir adalah sebaliknya. Ia tidak mahu manjadi pak turut Amerika seperti Jepun dan juga anti barat seperti Sukarno. Dr. Mahathir mengamalkan dasar diplomatik pragmatik. Beliau boleh menjadi sekutu Amerika dalam hal yang dipersetujui dan beliau boleh menjadi musuh Amerika dalam hal yang lain.
Ketika sentimen umat Islam di Malaysia bersimpati denga Iraq, Dr. Mahathir memilih untuk menyokong Amerika membebaskan Kuwait pada 1991. Malaysia di bawah pimpinan Dr. Mahathir sedar bahawa tidak ada sebuah negara lain wajar dibenarkan menakluki negara lain seperti Iraq lakukan ke atas Kuwait.
Sungguhpun sentimen dalam negara amat memuncak namun Malaysia yang ketika itu merupakan anggota Majlis Keselamatan PBB memilih untuk menyokong pengusiran Iraq dari bumi Kuwait. Satu Perhimpunan Agung Khas UMNO mengenai isu ini terpaksa dipanggil untuk Dr. Mahathir menerangkan mengapa Malaysia perlu menyokong tentera bersekutu (PBB) pimpinan Amerika. Beberapa tahun kemudian Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yaser Arafat yang turut tertipu dan menyokong Saddam Hussein terpaksa meminta pertolongan Dr. Mahathir memulihkan hubungan PLO dengan negara-negara Arab dan Amerika.
Sedekad kemudian Dr. Mahathir juga yang paling lantang menentang pencerobohan tentera Amerika ke atas Iraq. Kali ini kerana Amerika dan Britain bukan sahaja tidak mempunyai sebab yang jelas malah tidak mendapat kelulusan PBB. Namun penentangan Dr. Mahathir tidak menjadikan beliau sebagai anti-barat. Beliau bukan sahaja sanggup belajar dari Barat malah mengadakan kunjungan rasmi ke Amerika, Britain dan lain-lain negara Barat.
Salah satu kekuatan Dr. Mahathir di peringkat antarabangsa ialah kecekapan dan kebijaksanaan beliau menangani media antarabangsa. Kehebatan Dr. Mahathir berhadapan dengan media antarabangsa sering menjadi satu kekaguman kepada penulis.
Beliau tahu di mana dan bagaimana untuk mematikan hujah media Barat dan menjadikan mereka menghormati beliau. Salah satunya ketika beliau menghadiri Sidang Negara-negara Berkecuali (NAM) di Indonesia 1992. Media asing yang ketika itu cuba menonjolkan beliau sebagai diktator bertanya mengenai tangapan bahawa beliau adalah Little Sukarno. Dr. Mahathir memberi satu jawapan yang cukup tajam di negara saya sendiri pun, saya hanya disifatkan sebagai Mahathir Kecil.
Ketika berhadapan dengan media Australia beliau ditanya bagaimanakah cara memulihkan hubungan Malaysia-Australia, Dr. Mahathir dengan tenang menjawab, apabila anda berkelakuan baik hubungan kedua-dua negara akan menjadi baik. Jawapan ini sangat tepat dan sinis kerana kekeruhan hubungan Malaysia-Australia berpunca daripada media negara tersebut yang sering menyerang polisi dan kepimpiman negara ini.
Dr. Mahathir juga mempunyai hubungan yang cukup akrab dengan negara-negara besar di luar lingkungan anglo-saxon (Inggeris). Hubungan akrab dengan Perancis, Jerman memberikan Malaysia kekuatan dalam memastikan pandangan dan tindakannya di peringkat antarabangsa sentiasa mempunyai impak dan juga selamat.
Lihat sahaja dalam isu Yahudi baru-baru ini yang menjadi isu besar di peringkat antarabangsa. Usaha Kesatuan Eropah untuk mengecam kenyataan Dr. Mahathir bahawa yahudi menguasai dunia melalui proksi telah dihalang oleh Jacques Chirac, Presiden Perancis.
Dr. Mahathir menentang Forum Kerjasama Asia Politik (APEC) tajaan Amerika Syarikat kerana berpendapat Amerika tidak perlu masuk campur dalam ekonomi Asia Timur. Beliau merupakan seorang Ketua Negara kecil bukan sahaja menentang malah memboikot persidangan pertama yang berlangsung di Seattle, US. Namun menyedari kepentingan Malaysia setelah, beliau menghadiri persidangan seterusnya yang di adakan di luar Amerika. Dr. Mahathir tahu di mana had dan sempadan ketegasan bagi sebuah negara seperti Malaysia.
Wartawan Daily Telegraph, Ian Steward, pernah menyimpulkan hubungan Dr. Mahathir dengan Barat sebagai keghairahan yang bercampur dengan pragmatisme. Menurut wartawan tersebut lagi, Dr. Mahathir telah menunjukkan kemahiran diplomatik yang tinggi dengan menamatkan segera sengketa itu (perbalahan dengan Paul Keating) setelah beliau mengekslpoitasikan sepenuhnya isu itu bagi kepentingan politik tanpa menjejaskan ekonomi negaranya sedikit pun. (Zainuddin Maidin : Mahathir Di Sebalik Tabir, 1995). Inilah kekuatan Dr. Mahathir.
Dr. Mahathir seolah-olah Mahaguru dalam politik antarabangsa. Beliau tahu bila, di mana dan bagaimana untuk memastikan Malaysia boleh menjadi suara dunia ketiga dan dalam masa yang sama tidak membahayakan ekonomi negara. Justeru Dr. Mahathir bukan setakat berani tetapi cukup bijak. Ramai pemimpin boleh menjadi berani menentang Amerika tetapi tidak bijak hingga akhirnya negara dan rakyat mereka menjadi mangsa. Libya, Iraq, Sudan, Iran mewarisi kepimpinan berani tetapi tidak mempunyai kebijaksanaa. Mereka jarang memenangi perbalahan dengan Barat.
Kehebatan Dr. Mahathir juga adalah kerana anugarah Kebijaksanaan Allah kepada beliau. Suka untuk kita mencari pemimpin dunia yang mampu bercakap pelbagai ilmu atau bidang secara spontan. Inilah kelebihan Dr. Mahathir dan menjadikan beliau dihormat di pentas dunia.
Dr. Mahathir bersara dengan meninggalkan kepimpinan Malaysia satu asas yang kukuh dalam hubungan antarabangsa. Di peringkat ASEAN juga Dr. Mahathir deanggap sebagai pemimpin utama kawasan ini.