Sunday, June 9, 2013

Implikasi USD terhadap Ringgit Malaysia





Kenapa setiap kali meningkatnya nilai Ringgit Malaysia terhadap Dollar Amerika Syarikat, maka ekonomi Malaysia dianggap sedang kukuh? Sebaliknya, bila nilai Ringgit merosot, maka ekonomi Malaysia dianggap sedang merudum? Apakah pemulihan ekonomi suatu negara patut disandarkan pada naik-turunnya nilai wang mereka terhadap Dollar? Bagaimana kalau peningkatan Ringgit berlaku bersamaan dengan kemerosotan Dollar, apakah masih memiliki implikasi yang sama? Tentu jawapannya tidak. Dengan lain perkataan, ketika nilai Ringgit stabil dan Dollar  mengalami kemerosotan-seolah-olah nilai Ringgit meningkat dengan sendirinya.

Jadi, mengukur kadar pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara berdasarkan peningkatan atau kemerosotan nilai  wang domestik terhadap Dollar adalah suatu kaedah yang keliru.

Kenapa Dollar tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur kestabilan, kemakmuran dan juga pertumbuhan ekonomi? Ini kerana Dollar bukanlah mata wang yang terjamin kestabilannya. Tidak stabilnya nilai Dollar adalah, inter-alia, disebabkan perubahankadar inflasi dan adanya tindakan spekulasi dalam pasaran wang. Ini semua akan mempengaruhi jumlah  permintaan dan penawaran Dollar. 

Bahkan penggunaan Dollar akan menyebabkan nilai wang domestik semakin merosot dan perekonomian negara semakin tidak stabil. Sebagai contoh, keterpaksaan Indonesia untuk membiayai pembangunan negara bersumber dari hutang pada negara-negara maju di mana proses peminjaman dan pembayaran hutang yang melibatkan Dollar, tentunya akan semakin melemahkan nilai Rupiah pada khususnya dan juga ekonomi Indonesia pada amnya. Semakin banyak permintaan Dollar, maka akan semakin tinggi nilai Dollar di pasaran wang. Sebaliknya, semakin banyak jumlah Rupiah yang ditawarkan, maka nilai Rupiah akan semakin merudum. Ini semua tidak akan berlaku andaikata kita menggunakan Dinar (emas) dan Dirham (perak) sebagai mata wang negara.