Saturday, August 30, 2014

Dinar Musuh Utama Wang Kertas


 
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad sering memperkatakan bahawa “ ...Knowledge is not understanding...” atau ....Ilmu bukan sekadar pemahaman. Disini, perbedaan yang ketara yang perlu dihuraikan adalah di antara ilmu dan pemahaman. Sekiranya kita melihat dari sudut ilmu, maka ilmu berkenaan dengan Dinar masih belum cukup ’matang’ dikaji oleh pencinta Dinar. Malahan, pada masa kini, penyelidikan tentang Dinar masih giat dijalankan dan berbagai pendapat telah disuarakan oleh banyak pihak tanpa menemui jalan persetujuan kearah penggunaannya. Antara faktor ketara yang menyumbang kearah kebuntuan ini adalah kerana kurangnya pemahamam dari sudut praktikal didalam memastikan penggunaan Dinar dan Dirham juga mampu untuk bersaing didalam memastikan segala jenis aktiviti ekonomi dapat dijalankan tanpa masalah melalui penggunaanya. Oleh itu, kemampuan untuk memastikan kejayaan di dalam perlaksanaan Dinar dan Dirham sebagai sistem matawang Islam pada masa kini masih lagi menjadi tanda persoalan yang besar.

Apa yang perlu kita fahami ialah kejayaan menjadikan Dinar sebagai matawang syarie belum boleh dianggap sebagai satu kejayaan mengislamkan ekonomi sama sekali. Sebaliknya, apa yang lebih perlu diperbetulkan adalah sikap, kefahaman dan sistem aturan kewangan dunia hari ini. Kajian dan pendidikan tentang sistem kewangan dan ekonomi Islam masih perlu ditekankan secara mendalam agar kita dapat melihat masalah dunia hari ini dengan lebih jelas. Malahan, selagi sistem demokrasi masih wujud, maka dengan sendirinya pengunaan sistem matawang Dinar dan Dirham akan menemui jalan buntu kerana tidak bertaut pada sistem pemerintahan Ulil Amri yang dinaungi of Raja-Raja Islam.